ad

Belanjawan 2026 RM419.2 bilion, naik 1.7 peratus

10 Okt 2025, 8:21 AM
Belanjawan 2026 RM419.2 bilion, naik 1.7 peratus

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026 mewakili 19.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Jumlah ini mewakili peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding Belanjawan Disemak 2025.

Dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, MOF berkata kerajaan telah menyemak semula jumlah perbelanjaan 2025 kepada RM412.1 bilion daripada peruntukan diluluskan sebanyak RM421 bilion dalam Belanjawan 2025.

Mengulas jumlah RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026, MOF berkata RM338.2 bilion atau 80.7 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM81 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).

Sebahagian besar peruntukan iaitu 32.1 peratus daripada jumlah keseluruhan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan, katanya.

Dari segi peruntukan sektor, sebanyak RM155.9 bilion atau 37.2 peratus daripada keseluruhan bajet diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti oleh ekonomi (RM58.9 bilion; 14.1 peratus), keselamatan (RM44.5 bilion; 10.6 peratus) dan pentadbiran am (RM20.7 bilion; 4.9 peratus).

Baki sebanyak 33.2 peratus diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan, kata kementerian itu.

MOF dalam laporan tersebut turut berkata peruntukan bagi OE berjumlah RM338.2 bilion atau 15.9 peratus daripada KDNK iaitu meningkat sebanyak 1.8 peratus daripada belanjawan disemak 2025.

Laporan tersebut turut menggariskan bahawa emolumen kekal sebagai komponen terbesar OE, yang diunjurkan meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM109.4 bilion terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan SSPA fasa kedua termasuk kenaikan gaji pokok tujuh peratus bagi penjawat awam Gred 15 dan ke bawah.

Menyentuh mengenai subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 14.5 peratus daripada perbelanjaan mengurus, laporan tersebut mengunjurkan subsidi dan bantuan sosial berkurang sebanyak 14.1 peratus kepada RM49 bilion pada 2026.

“Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global yang lebih rendah dan usaha rasionalisasi subsidi termasuk pelaksanaan Program BUDI95,” katanya.

Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa kerajaan akan menyediakan jumlah keseluruhan pinjaman sebanyak RM1 bilion melalui DE bagi menambah baik infrastruktur dan kualiti hidup rakyat pada tahun hadapan.

Mengimbas semula Belanjawan Disemak 2025 yang mengurangkan jumlah peruntukan kepada RM412.1 bilion daripada RM421 bilion, MoF berkata ia adalah berikutan pengoptimuman emolumen dan bayaran khidmat hutang (DSC) yang lebih rendah serta pengurangan DE.

Sebanyak 80.6 peratus daripada jumlah yang disemak semula diperuntukkan kepada OE manakala baki 19.4 peratus diperuntukkan kepada DE.

Jumlah OE pada 2025 dianggar sebanyak RM332.1 bilion berbanding peruntukan asal RM335 bilion, katanya.

“Pelarasan ini terutamanya disebabkan oleh pengoptimuman emolumen, bayaran persaraan, DSC dan geran kepada badan berkanun,” kata MOF.

Mengenai DE untuk 2025, laporan itu mendedahkan bahawa DE pada 2025 dianggarkan berkurangan sebanyak 4.8 peratus kepada RM80 bilion, terutamanya disebabkan keperluan perbelanjaan yang lebih rendah kepada sektor ekonomi.