SHAH ALAM, 3 APR: Dato’ Menteri Besar menyeru penjawat awam di negeri ini memahami maksud dan semangat sebenar Madani bagi memastikan dasar tersebut direalisasikan sebaik mungkin di semua peringkat.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Madani merupakan tekad untuk menyelamatkan negara dan mencipta lonjakan baharu yang bukan sahaja tertumpu kepada fizikal, tetapi juga pembangunan insan.
“Kalau kita ingin taat, kita yakin dengan perkara yang kita lakukan, ia harus bermula dengan kepercayaan dan kefahaman.
“Kalau kita faham, akhirnya kita akan percaya dan kita akan dapat bersama tanpa perlu paksaan atau satu tindakan kekerasan atau pun ugutan.
“Madani bunyinya enak, tetapi kalau kita gagal faham, kita akan tenggelam dengan istilah, tanpa memahami semangat perkataan tersebut,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Jelajah Taat Setia Madani peringkat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.
Majlis yang disertai lebih 2,000 penjawat awam negeri itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Dalam majlis tersebut, Amirudin dan Shamsul Azri turut menyempurnakan inisiatif Gelombang Aku Kasih Malaysia sebagai pendekatan bersepadu untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, Amirudin berkata semua pemimpin negeri sudah menerima maklumat penting menerusi pembentangan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Jelasnya, pembentangan tersebut melibatkan jaminan bekalan makanan, bekalan gas, serta potensi dan risiko yang bakal dihadapi negara susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang kian memuncak.
“Saya kira ini keterbukaan kerajaan memastikan semua unit penting dalam kerajaan, termasuk Kerajaan Negeri dapat terlibat dalam menangani krisis atau isu yang kita akan hadapi,” katanya.
Semalam, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri yang disifatkan sebagai wadah penting untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.










