KUALA SELANGOR, 13 OGOS: Pendidikan berteraskan wasatiyyah (kesederhanaan) menjadi asas pembentukan masyarakat aman, beradab dan berpandangan jauh, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep itu bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, malah membina generasi kaya dengan nilai kemanusiaan, toleransi dan keharmonian.
“Pendidikan wasatiah membentuk murid berakhlak mulia, berfikir secara rasional, menolak budaya ghuluw (melampau) serta memupuk sifat rahmah dalam interaksi sosial.
Inilah resipi untuk melahirkan generasi cemerlang yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya ketika perasmian edisi kedua Seminar Wasatiyyah dan Membendung Ekstremisme di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) di sini hari ini.
Amirudin turut menegaskan prinsip wasatiyyah menyeimbangkan wahyu dan akal serta mengangkat nilai kebersihan, keadilan, keteraturan, amanah, syura dan kemuliaan insan.
“Selangor menolak modenisasi yang menghakis identiti Islam, namun pada masa sama menolak fahaman jumud yang menghalang kemajuan,” ujarnya.
Seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghimpunkan 300 guru sekolah agama kerajaan dan swasta bagi membincangkan strategi membendung ekstremisme, memelihara keharmonian antara agama dan menyemai kesederhanaan di institusi pendidikan.
Program turut menyaksikan pelancaran Selangor Bertadabbur 2025 yang memfokuskan tadabbur Surah Al-Mulk di 10 hingga 15 masjid terpilih seluruh negeri.