SHAH ALAM, 23 FEB: AMANAH Selangor menegaskan pendidikan berteraskan pembinaan akhlak dan nilai insan sebagai asas utama dalam menangani gejala sosial serta jenayah yang semakin membimbangkan.
Naib Pengerusinya, Shamsul Ma’arif Ismail berkata pendekatan berteraskan Malaysia MADANI menekankan pendidikan bukan sekadar pemindahan ilmu, sebaliknya proses membentuk insan berakhlak, berempati dan bertanggungjawab.
“Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menekankan pendidikan sebagai kunci utama menangani kegusaran sosial, jenayah keluarga dan kemerosotan nilai dalam masyarakat, dan kami menyokong penuh kenyataan beliau,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata transformasi sosial perlu bermula dengan pembinaan diri dan pengukuhan nilai, selaras firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 11.
“Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
Shamsul Ma’arif turut merujuk hadith Rasulullah SAW yang menekankan prinsip tanggungjawab dan kepimpinan beretika:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Menurutnya, AMANAH Selangor memberi tumpuan kepada tiga komitmen utama iaitu memperkasa pendidikan akhlak, mengarusperdanakan pendidikan pencegahan dadah dan jenayah serta mengukuhkan institusi keluarga melalui pendidikan keibubapaan dan sokongan psikososial.
Beliau yakin pendidikan yang berteraskan ilmu, iman dan ihsan serta dipandu nilai MADANI mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan dan berakhlak, sekali gus mengurangkan gejala sosial serta memastikan kesejahteraan Selangor dan negara.








