ad

MB: Kibarkan Jalur Gemilang, jangan anggap beban

13 Ogos 2025, 7:20 AM
MB: Kibarkan Jalur Gemilang, jangan anggap beban

KLANG, 13 OGOS: Pemilik premis perniagaan digalak mengibar Jalur Gemilang di bangunan masing-masing dan tidak melihatnya sebagai beban

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif mengibarkan bendera yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan menyemai semangat patriotisme.

“Arahan kibar bendera yang dikeluarkan PBT sebahagian daripada kempen cintakan Malaysia. Seruan ini wajar dikongsi bersama, bukannya dianggap sebagai bebanan kerana ini budaya patriotisme yang ada pada negara maju.

“Biarpun tiada peraturan jelas mewajibkan pemasangan bendera tetapi mungkin ada undang-undang kecil tertentu atau klausa untuk galak pemilik premis menggantung Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan sekolah negeri 2025. Pada majlis tersebut, Amirudin menyampaikan bantuan persekolah berjumlah RM26.624 juta kepada 873 sekolah seluruh Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan masyarakat agar tidak membiarkan Jalur Gemilang yang usang terus digantung di premis atau kediaman.

“Kalau boleh ganti dan tukar bendera usang, itu pengorbanan tanda sayangkan negara. Sekiranya berbelanja sedikit, itu nilai kecil sahaja untuk sehelai bendera,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.