Semangat patriotisme anak muda terus utuh, cara penghayatan berubah

30 Ogos 2026, 6:00 AM
Semangat patriotisme anak muda terus utuh, cara penghayatan berubah
Semangat patriotisme anak muda terus utuh, cara penghayatan berubah

SHAH ALAM, 30 OGOS: Zaman berubah, begitu juga cara anak muda menzahirkan semangat Merdeka. Namun, rasa cinta kepada negara kekal menjadi sebahagian daripada identiti generasi muda hari ini.

Daripada mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai aktiviti kemerdekaan hingga mendapatkan maklumat sejarah melalui media sosial, patriotisme kini diterjemahkan dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan semasa.

Pelajar, Nur Anisha Syahira, 18, berkata sambutan kemerdekaan masih relevan, terutama apabila anak muda berkumpul pada malam ambang Merdeka untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Nur Anisha Syahira, 18, menyifatkan sambutan kemerdekaan masih relevan dalam kalangan generasi muda. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, dia melihat penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan dalam kalangan rakan sebaya semakin berkurang apabila amalan membaca mengenai tokoh dan perjuangan kemerdekaan tidak lagi menjadi kebiasaan.

"Program sambutan kemerdekaan secara berkala perlu diteruskan pelbagai pihak supaya anak muda lebih terlibat dalam aktiviti yang meningkatkan patriotisme," katanya.

Muhammad Asraf, 24, pula berpandangan aktiviti seperti perarakan dan sukan boleh menjadi medium untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Selain memasang Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan, dia berkata pendekatan interaktif mampu menarik minat generasi muda memahami sejarah negara.

Muhammad Asraf, 24, melihat aktiviti komuniti mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

"Program seperti sukaneka atau sambutan kemerdekaan di sekolah penting sebagai pemangkin semangat Merdeka.

"Pendedahan sejarah tentang kemerdekaan boleh diselitkan melalui kuiz sejarah untuk lebih menarik minat generasi muda," katanya.

Bagi Siti Aisyah Alya Mohd Ismail, 24, pembelajaran sejarah penting supaya generasi muda lebih menghargai tokoh serta perjuangan kemerdekaan.

"Pengaruh budaya luar dalam media sosial antara cabaran dalam mengekalkan penghayatan patriotisme anak muda," katanya.

Lohaan Sharma Parama Sivam, 29, mahu generasi muda terus memahami dan menghayati sejarah negara. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Lohaan Sharma Parama Sivam, 29, melihat semangat patriotisme generasi muda terus berkembang seiring pemodenan.

Menurutnya, media sosial turut memudahkan golongan muda mendapatkan maklumat berkaitan sejarah negara.

"Golongan muda perlu terus mempelajari sejarah kemerdekaan serta memahami tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.