ad

Tengku Permaisuri lancar Yayasan Insan Istimewa Selangor, MBI sumbang RM1 juta

9 Ogos 2025, 3:04 PM
Tengku Permaisuri lancar Yayasan Insan Istimewa Selangor, MBI sumbang RM1 juta
Tengku Permaisuri lancar Yayasan Insan Istimewa Selangor, MBI sumbang RM1 juta

SHAH ALAM, 9 OGOS: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, hari ini.

Penubuhan YANIS menjadi langkah penting dalam memperkukuh agenda pembangunan orang kurang upaya (OKU) secara menyeluruh di negeri ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Kamarul Hisham Yeop Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Saipolyazan M Yusop.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja YANIS turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan RM1 juta oleh MBI kepada YANIS.

Sementara itu, Anfaal ketika ditemui pemberita berkata selain meneruskan inisiatif Anak Istimewa Selangor (ANIS) di bawah umur 18 tahun, YANIS akan memperluas inisiatif pemerkasaan bagi semua warga OKU.

"Penubuhan YANIS bertujuan meningkatkan akses dan peluang untuk OKU, menggalakkan kerjasama komuniti, serta menjadi contoh amalan terbaik dalam pengurusan intervensi anak-anak istimewa.

"Langkah ini seiring matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Dasar OKU Selangor yang akan dilancarkan pada sidang dewan negeri akan datang," katanya.

Beliau menjelaskan, YANIS yang didaftarkan secara rasmi pada 27 Mac 2025 di bawah Akta Syarikat 2016 mempunyai kelebihan menjana dana sendiri melalui geran, tanggungjawab sosial korporat (CSR), kutipan awam dan pelaburan sosial.

"Ini membolehkan lebih ramai OKU menerima manfaat berbanding model terdahulu yang hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan.

"Permohonan bantuan khas dibuka pada bulan Mac setiap tahun dan jumlah peruntukan dijangka akan meningkat," ujarnya.

Selain bantuan intervensi untuk kelainan pembelajaran seperti autisme dan ADHD, YANIS juga akan menyediakan bantuan peralatan bagi OKU fizikal, di samping memfokuskan peluang pekerjaan dan kemudahan reka bentuk sejagat bagi membantu golongan ini bekerja serta bergerak dengan lebih mudah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.