Selangor komited bantu Orang Asli manfaatkan dana pembangunan

9 Ogos 2025, 9:57 AM
Selangor komited bantu Orang Asli manfaatkan dana pembangunan

SEPANG, 9 OGOS: Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha membangunkan komuniti Orang Asli dengan memastikan setiap bantuan dan peruntukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, susulan hanya 10 daripada 74 Kampung Orang Asli di negeri ini memohon dana melalui Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata tindakan segera termasuk penganjuran bengkel bersama EXCO Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V. Papparaidu, serta Tok Batin bagi memberi penjelasan terperinci mengenai proses permohonan dan penggunaan dana.

“Kita mahu dana daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri, termasuk RM10,000 bagi program kemasyarakatan, digunakan sepenuhnya untuk pembangunan komuniti,” katanya.’

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Orang Asli sempena Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Selangor di Kampung Orang Asli Kelinsing pada 9 Ogos 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI / Media Selangor

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Selangor di Kampung Orang Asli Kelinsing, di sini hari ini.

Amirudin turut menggesa wakil masyarakat dan jabatan berkaitan lebih proaktif memberi penerangan dan bimbingan supaya komuniti itu dapat meningkatkan taraf ekonomi dan sosial.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan produk komuniti Orang Asli akan dijadikan cenderamata rasmi untuk jabatan kerajaan dan pemimpin, sebagai langkah menjana pendapatan penduduk setempat.

Sementara itu, Papparaidu dalam ucapannya menegaskan pendidikan adalah kunci kemajuan jangka panjang masyarakat Orang Asli. Kerajaan Negeri, katanya, komited memberi peluang pendidikan agar mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan ilmu dan teknologi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V. Papparaidu ketika melawat reruai kraftangan masyarakat Orang Asli suku Temuan pada 9 Ogos 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI / Media Selangor

“Pendidikan ialah pemangkin utama untuk mengubah taraf hidup dan membuka jalan kepada masa depan yang lebih cerah.

“Kerajaan Selangor sentiasa komited memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli dalam pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ilmu dan teknologi,” tambahnya.

Sebagai sebahagian usaha memperkasa luar bandar, beliau berkata 13 unit lampu solar telah dipasang di tiga Kampung Orang Asli (KOA) iaitu KOA Bukit Bangkong, KOA Hulu Chuchoh dan KOA Sungai Belankan.

Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan prasarana mampan yang memberi manfaat kepada 372 isi rumah melibatkan 1,071 penduduk.