ad

Ladang nanas MD2 jana RM100,000 setahun, lonjak pertanian Sabak Bernam

19 Nov 2025, 1:01 PM
Ladang nanas MD2 jana RM100,000 setahun, lonjak pertanian Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 19 NOV: Ladang nanas jenis MD2 seluas 2.5 ekar diusahakan bawah kelolaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 40 membuktikan potensi besar sektor pertanian apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 setahun.

Selain hasil buah, ladang berkenaan turut berupaya meningkatkan pendapatan melalui penjualan anak benih, menjadikan projek ini antara contoh terbaik pertanian berimpak tinggi di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata kejayaan ladang diusahakan Haji Zul dan Pak Din menunjukkan bagaimana bimbingan Jabatan Pertanian mampu melahirkan pengusaha tani berdaya saing.

Menurutnya, Program Sejati Madani yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan turut memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pembangunan pertanian komuniti.

“Program Sejati Madani ini bukan sahaja membantu JPKK dan ketua kampung mengembangkan projek pertanian, malah turut menyediakan peralatan moden seperti drone, khemah dan kemudahan komuniti lain yang memperkukuh lagi aktiviti pertanian dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan bersama Jabatan Pertanian Daerah Sabak Bernam ke ladang berkenaan baru-baru ini.

Tambah beliau, kejayaan dua pengusaha itu turut membuktikan Sabak Bernam merupakan lokasi strategik untuk penanaman nanas MD2.

“Daerah Sabak Bernam merupakan lokasi strategik bagi penanaman nanas MD2, melihat kepada kejayaan dicapai Haji Zul dan Pak Din.

"Saya menyeru anak muda menceburi bidang pertanian ini yang berpotensi menjadi sumber pendapatan lumayan,” ujarnya.

Nanas MD2 yang matang dalam tempoh 12 hingga 14 bulan memiliki permintaan pasaran stabil, manakala penggunaan teknik perlindungan seperti penutup buah untuk mengelakkan “sunburn” turut membantu mengekalkan kualiti hasilnya.

Gabungan faktor ini menjadikan tanaman tersebut semakin penting sebagai pemacu ekonomi setempat.

Dengan sokongan program kerajaan dan bimbingan teknikal berterusan, usaha memperkukuh sektor pertanian di Sabak Bernam dilihat terus berkembang seiring potensi besar tanaman bernilai tinggi seperti nanas MD2.