SHAH ALAM, 9 OGOS: Pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disaran mengoptimumkan penggunaan serta mengelakkan pembaziran susulan pelarasan tarif baharu mulai 1 September ini.
Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pemeriksaan paip secara berkala perlu dilakukan bagi mengesan kebocoran yang boleh menyebabkan bil melambung tinggi.

“Kadang-kadang, kita bukan guna air terlalu banyak. Bayangkan empat penghuni dalam satu rumah guna air sampai satu meter padu (1,000 liter) sehari, mustahil!
“Rupa-rupanya, paip air rumah kita yang bocor. Itu yang menyebabkan bil bulanan melambung tinggi, tapi segelintir pengguna bayar sahaja kerana beranggapan kos pembaikan paip lebih mahal.
“Kalau mereka ambil kira perancangan jangka panjang dan lakukan penjimatan dengan membaiki paip terlebih dahulu, tidak mustahil bil Air Selangor jadi lebih rendah daripada kebiasaan,” kata Adam Saffian Ghazali seperti dilapor Sinar Harian.
Menurut Adam, pelarasan tarif membolehkan Air Selangor meneruskan pelaburan bagi memastikan kelangsungan bekalan air kepada 9.62 juta pengguna, selain menyokong usaha meningkatkan kualiti air terawat serta mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).
“Kami sedang berusaha meningkatkan rizab margin air kepada 20 peratus menjelang 2030, selain menyelesaikan isu paip bocor melalui program penggantian paip lama kepada 300km setahun mulai 2024, dan seterusnya 400 km setahun bermula 2034.
“Air Selangor juga membuat pelaburan berterusan dalam pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu seperti LRA Bestari Jaya berkapasiti 900 juta liter sehari (JLH) serta menaik taraf aset kritikal seperti LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Labu, LRA Sungai Semenyih dan Tangki Imbangan Matang Pagar,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pelarasan tarif air baharu penting bagi memperkukuh perkhidmatan bekalan air dan meningkatkan rizab kepada 20 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata, langkah tersebut turut membolehkan Air Selangor mempergiat penggantian 1,600km paip asbestos berusia lebih 40 tahun, dilaksanakan pada kadar 300km setahun bermula tahun ini.