ad

Guna berhemah tiada kenaikan, air percuma isi rumah bulanan RM6,000

9 Ogos 2025, 2:00 AM
Guna berhemah tiada kenaikan, air percuma isi rumah bulanan RM6,000

Bermula 1 September, pelarasan tarif air di Selangor dilaksanakan. Namun, tiada kenaikan untuk majoriti rakyat yang guna air sehingga 20 meter padu sebulan. Caj kekal 65sen bagi setiap meter padu seperti sebelum ini.

Langkah tersebut untuk menjamin kelestarian bekalan jangka panjang, selain memastikan golongan sasar menerima bantuan. Air Selangor, yang membekalkan air kepada lebih 9.6 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, melaksanakan pelarasan mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Untuk pengguna yang menggunakan air secara berhemah, tiada perubahan pada bil bulanan anda. Caj minimum RM6.50 juga dikekalkan bagi pengguna domestik. Hanya penggunaan dalam jumlah tinggi sahaja dikenakan kadar baharu, itu pun secara bersasar. Berita baik juga buat penghuni rumah kos rendah, kenaikan paling minimum hanya 10sen, menjadikan kadar baharu RM1.18 bagi setiap meter padu.

Sementara itu, lebih 1.3 juta rakyat Selangor merangkumi 337,851 akaun, layak menerima air percuma bernilai RM13 sebulan menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE). Menariknya, had kelayakan pendapatan isi rumah akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan supaya lebih ramai menikmati bantuan ini.

Selaras peningkatan penduduk, Air Selangor membina Loji Rawatan Air (LRA) Rasau dan Labohan Dagang 2, masing-masing menelan kos RM7.671 bilion dan RM479.52 juta. Ia akan menambah kapasiti air terawat sebanyak 2,730 juta liter sehari.

Penggantian paip-paip lama sepanjang 732.65 kilometer (km) dilakukan sejak 2018. Bermula tahun ini, paip asbestos sepanjang 1,600km di seluruh Selangor yang berusia lebih 40 tahun diganti secara berperingkat.

Margin rizab air juga naik kepada 16.74 peratus pada Jun, jadi risiko gangguan bekalan semakin rendah. Pelarasan tarif turut melibatkan sektor industri berat seperti pusat data dan perkapalan yang menggunakan air dalam jumlah besar.

Namun bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan, kadar tetap rendah dan Kerajaan Negeri menampung peningkatan caj. Secara keseluruhan, Selangor menanggung kos sehingga RM52.7 juta bagi memastikan pelarasan tidak membebankan rakyat, sebaliknya mengukuhkan perkhidmatan air yang lebih mantap dan moden.

Yang perlu anda tahu

  • kenaikan tarif air libatkan 10 negeri termasuk Selangor

  • pelarasan dibuat selepas permohonan semakan oleh pengendali bekalan air di negeri-negeri

  • jemaah menteri luluskan kenaikan bermula 1 Ogos

  • Selangor putuskan laksana tarif baharu mulai 1 September

Bantuan untuk rakyat

  • 1.3 juta rakyat terus nikmati air percuma menerusi SADE

  • SADE diperluas: had kelayakan pendapatan isi rumah naik daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan

  • permohonan boleh dibuat mulai 8 Ogos

  • bantuan untuk rumah ibadat & institusi kebajikan berdaftar: Kerajaan Negeri tampung kenaikan tarif air

  • peruntukan hingga RM52.7 juta, pastikan kos sara hidup rakyat memerlukan tidak terbeban

Kenapa perlu pelarasan?

  • ganti lebih 1,600km paip asbestos berusia lebih 40 tahun mulai tahun ini

  • tingkat simpanan air, perlu capai sasaran selamat 20 peratus menjelang 2030 tangani kecemasan

  • populasi dan sektor industri terus berkembang pesat, perlu kapasiti air terawat lebih tinggi

Ke mana dilabur?

  • ganti paip berskala besar

  • bina loji rawatan air baharu

  • tiada kenaikan bagi pengguna domestik 20 meter padu

  • caj minimum bulanan RM6.50 kekal

Pelarasan bersasar

  • peralihan tarif hanya dikenakan pada kadar penggunaan lebih 20 meter padu

  • penggunaan 20-35 meter padu:caj RM1.62/meter padu

  • penggunaan lebih 35 meter padu:caj RM3.51/meter padu

  • kondominium, kuarters estet, kuarters kerajaan:caj RM2.09/meter padu

  • caj minimum kondominium secara pukal kekal RM173 sebulan

  • industri penggunaan tinggi:kategori tarif baharu diwujud untuk pusat data pada kadar RM5.31/meter padu

  • industri perkapalan RM8.01/meter padu

  • ruang komersial, bangunan bukan domestik: caj naik 57sen kepada RM3.51/meter padu

  • penggunaan lebih 35 meter padu caj ditetapkan RM3.83/meter padu

  • rumah ibadat, institusi kebajikan: masih kadar terendah, naik 10sen/meter padu kepada 76sen/meter padu

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.