ad

EXCO: Semakan umur persaraan wajar namun elak jejas peluang kerja belia

7 Ogos 2025, 1:53 AM
EXCO: Semakan umur persaraan wajar namun elak jejas peluang kerja belia
EXCO: Semakan umur persaraan wajar namun elak jejas peluang kerja belia

SHAH ALAM, 7 OGOS: Cadangan kerajaan persekutuan untuk mengkaji umur persaraan wajib disambut baik Kerajaan Negeri yang menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam menghadapi realiti Malaysia sebagai negara menua.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, dasar itu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar isu tenaga kerja tetapi sebagai sebahagian daripada strategi penuaan aktif dan produktif.

"Langkah ini bukan sahaja tepat pada masanya tetapi mendesak, memandangkan peralihan demografi Malaysia ke arah populasi yang semakin tua dan keadaan kesediaan persaraan yang membimbangkan," kata beliau kepada Media Selangor ketika dihubungi.

Data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan 71.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka, dengan median simpanan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun hanya RM48,311.

"Ini jauh di bawah anggaran RM390,000 yang diperlukan untuk persaraan yang bermaruah. Sementara itu, kos sara hidup bulanan seorang warga emas bujang dianggarkan RM2,690," katanya.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap ketika Program Hi-tea Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) bersama rakan strategik di Hotel Saujana, Shah Alam pada 22 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Anfaal berkata realiti itu menunjukkan keperluan reformasi menyeluruh dalam sistem persaraan negara termasuk dari segi umur persaraan dan penyertaan warga emas dalam ekonomi.

Begitupun katanya, langkah berkenaan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan peluang pekerjaan anak muda.

“Keseimbangan perlu dicapai. Salah satu caranya ialah galakan penggajian semula warga emas dalam kapasiti berbeza seperti penasihat, mentor atau pekerja separuh masa, dengan gaji dan indikator prestasi kerja (KPI) yang disesuaikan," katanya.

Ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 31 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengkaji semula umur persaraan mandatori negara sebagai sebahagian daripada persediaan yang lebih meluas ketika Malaysia beralih kepada negara tua.

Perkara itu terkandung di bawah prakarsa kesembilan mengenai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk semua lapisan masyarakat.

- Berita lanjut boleh layari laman web berikut:

https://mediaselangor.com/en/2025/08/314509/exco-retirement-age-review-timely-but-must-balance-youth-jobs

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.