ad

Malaysia tegas pertahan dasar negara dalam rundingan tarif dengan AS

5 Ogos 2025, 7:14 AM
Malaysia tegas pertahan dasar negara dalam rundingan tarif dengan AS

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia antara negara yang tegas mempertahankan beberapa peruntukan bertepatan dengan dasar negara dalam rundingan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia tidak mengalah dalam beberapa tuntutan AS ketika rundingan, termasuk dasar Bumiputera, di samping beberapa tuntutan lain yang dipersetujui oleh negara lain selain Malaysia.

“Tetapi kita masih dapat 19 peratus (kadar tarif timbal balas). Paling penting (adalah) dasar Bumiputera yang dianggap diskriminatori (oleh AS), dan mereka tidak boleh terima (kerana) itu bertentangan dengan semangat perdagangan antarabangsa.

“(Bagaimanapun) kita tak boleh, Malaysia mesti pertahankan (dasar Bumiputera), dan akhirnya, ia diterima,” kata Anwar pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga perlu menilai risiko sekiranya dikenakan kadar tarif lebih tinggi kerana Malaysia adalah negara perdagangan dan nilai perdagangan dengan AS adalah tinggi.

“Kita boleh menang sorak, tetapi negara rugi dan ratusan ribu rakyat terkesan. Saya bertanggungjawab pertahankan kepentingan rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata, bagi tuntutan yang boleh dipenuhi seperti dasar import-eksport, kerajaan telah bertolak ansur, bukan sahaja kepada AS, malah kepada negara lain termasuk China.

Berkenaan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), Anwar berkata ia adalah keputusan MAG namun Boeing bukan satu-satunya model pesawat yang dibeli syarikat penerbangan itu.

Anwar berkata, ketika lawatan rasmi ke Perancis baru-baru ini beliau turut merundingkan pembelian pesawat Airbus dengan Presiden Emmanuel Macron malah Malaysia juga berunding dengan Brazil dan China (untuk pembelian pesawat) namun China memaklumkan pesawat mereka hanya untuk keperluan domestik sahaja setakat ini.

Menurut beliau, pada 2024 MAG mencatatkan keuntungan setelah beberapa tahun mengalami kerugian, didorong oleh pengurusan yang telus dan cekap, justeru, syarikat itu membuat pesanan (pembelian pesawat) sejak tahun lalu.

“Kedua-duanya, (pesawat) Boeing dan Airbus, sebahagian besar daripada kilang pembuatan bahagiannya (terletak) di sini. Kalau tengok sayap Airbus, itu (kilang pembuatan) banyak di Negeri Sembilan, Kulim dan juga di Selangor. Begitu juga komponen Boeing. Syarat kita dengan Boeing adalah mengenai pengeluaran sebahagiannya di sini.

“Kita kena beli (pesawat) dan kita kena beli banyak sebab laluan yang kita batalkan itu terlalu banyak. Ia berkenaan supply (tawaran) dan demand (permintaan),” kata beliau.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.