ad
PBT

MBSA sedia laksana sistem parkir baharu mulai 1 Ogos

26 Jul 2025, 3:32 AM
MBSA sedia laksana sistem parkir baharu mulai 1 Ogos

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersedia melaksanakan Sistem Parkir Pintar (SIP) pada 1 Ogos seperti dijadualkan.

Datuk Bandar Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya menerima dan menyokong keputusan dibuat Kerajaan Negeri.

“Itu keputusan Kerajaan Negeri, kita akan patuhi dan laksanakannya dalam isu konsesi tempat letak kereta ini," katanya dipetik akhbar The Star ketika mesyuarat penuh bulanan lembaga MBSA.

Tambahnya lagi, MBSA mengutip RM21.9 juta yuran parkir dan RM8.9 juta kompaun tahun lepas.

Selain MBSA, tiga lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dalam projek rintis SIP dijadualkan pada Ogos depan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata yang Kerajaan Negeri masih meneruskan perbincangan dengan PBT termasuk MBPJ yang menyatakan bantahan rasmi terhadap inisiatif tersebut.

“Ia adalah proses kebenaran di peringkat PBT. Yang membantah sekarang ini adalah MBPJ dan kita akan tengok apa asas bantahan sebab kita mahu tingkatkan kutipan hasil, terutamanya hasil parkir.

“Sebelum ini hasil parkir yang dapat dikutip hanya 30 peratus, maknanya ada 70 peratus yang tidak dapat dikutip. Kita perlu pertingkatkan dengan teknologi," katanya.

Menurut EXCO kerajaan tempatan, SIP bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan pengurusan tempat letak kereta melalui sistem digital dan kecerdasan buatan serta mengurangkan kebergantungan kepada penguatkuasaan manual.

Dato' Ng Suee Lim turut memberi jaminan tiada perubahan kadar parkir akan berlaku.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.