SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil langkah proaktif memasang lintasan pejalan kaki beraudio bagi membantu penghidap demensia bergerak lebih selamat di kawasan bandar.
Datuk bandar Petaling Jaya berkata sistem itu direka dengan gabungan isyarat visual dan bunyi bagi memudahkan pemahaman pengguna terutama mereka yang mengalami masalah kognitif, lapor The Star.
“Lintasan audio kami juga dilengkapi dengan bahagian tepi jalan yang bercahaya untuk memudahkan navigasi.
“Isyarat pendengaran dapat membantu individu yang mengalami demensia untuk menyesuaikan diri dan memahami kawasan lintasan jalan, terutamanya di persekitaran yang tidak biasa,” kata Mohamad Zahri Samingon.
Tambah beliau, lintasan audio berkenaan dipasang di hadapan ibu pejabat MBPJ di Jalan Yong Shook Lin yang turut dilengkapi lengan lampu isyarat LED merah dan hijau untuk panduan pemandu.
"Ia masih dalam fasa percubaan untuk menilai kebolehlaksanaan dan keberkesanan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ, Lee Lih Shyan berkata pihaknya akan berbincang dengan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) dan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor.
“Maklum balas akan membolehkan kami menggabungkan ciri reka bentuk yang sesuai bagi mewujudkan persekitaran pejalan kaki yang lebih mesra untuk mereka.
“Apabila infrastruktur ditambah baik, kita mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan menyokong individu yang hidup dengan demensia, membolehkan mereka kekal aktif, terlibat dan berdikari,” katanya.