KUALA LUMPUR, 9 JUN: Demensia atau nyanyuk kini dianggap sebagai penyakit senyap selain disifatkan sebagai antara ancaman sekali gus membawa negara beralih ke arah status negara menua.
Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Tan Juen Kiem berkata bilangan penghidap penyakit itu meningkat ketara iaitu kira-kira 10 peratus daripada bilangan warga emas.
Beliau yang merujuk statistik menjelaskan sekitar 10 peratus daripada penduduk berusia lebih 60 tahun di negara ini mengalami nyanyuk berbanding hanya lapan peratus sebelum ini.
“Walaupun tidak nampak seperti pesakit terlantar lain, kebanyakan pesakit demensia tidak keluar rumah. Susah hendak kenal pasti statistik sebenar, biasanya sudah teruk baru datang ke hospital,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk Demensia sempena sambutan Hari Kesihatan Otak anjuran Fakulti Perubatan UKM di sini, pada 12 Mei lalu.
Menurut Dr Juen Kiem, pesakit lazimnya menunjukkan gejala awal pada usia muda antaranya masalah kognitif, pertuturan berulang dan sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.
Katanya, nyanyuk sering dikait dengan faktor genetik tetapi penyakit yang sering dihadapi kelompok warga emas itu sebenarnya bersifat sprodik iaitu berlaku tanpa sebarang sebab jelas.
“Memang ada faktor genetik. Daripada muda memang sudah nampak simptom seperti masalah kognitif, masalah perhatian, bahasa dan sebagainya. Tetapi ba-nyak kes juga bersifat sprodik.
“Namun, kita tiada kebolehan untuk siasat dengan teliti seperti negara maju. Di negara maju ada ujian genetik dan mereka juga ada pangkalan data yang besar (untuk kajian),” katanya.
Dr Juen Kim menjelaskan perkembangan nyanyuk mampu dilambatkan menerusi amalan pemakanan sihat, senaman dan latihan kognitif yang mampu meningkatkan fungsi otak dan daya ingatan.
Sehingga kini, katanya, penyakit itu tidak mampu dipulihkan sepenuhnya tetapi gejala penyakit berkenaan boleh dikawal menerusi ubat-ubatan khas, bergantung kepada situasi kes tertentu.
“Sekarang ada ubat untuk kawal simptom. Kita beri ubat merangsang fungsi otak bagi sesetengah kes. Walaupun ia tidak boleh dipulihkan, ia boleh mengurangkan simptomnya," kata beliau lagi.
Menurut Dr Juen Kim, ada ubat baharu yang dikatakan berupaya melambatkan perkembangan nyanyuk tetapi harganya mahal tetapi ia berkemungkinan lebih murah pada masa depan.
“Walaupun masih mahal, saya berpendapat apabila semakin banyak kajian, saya rasa ia akan semakin murah dan suatu hari nanti mungkin kita boleh ubati demensia.”








