SYDNEY, 13 OKT: Jumlah kes baharu demensia di seluruh dunia diunjurkan meningkat kepada 24.7 juta setahun menjelang 2050, berbanding anggaran 11.4 juta orang yang mengalami penyakit itu pada 2023, lapor Xinhua.
Kajian yang diketuai penyelidik Centre for Healthy Brain Ageing (CHeBA) di Universiti New South Wales, Australia, itu menganalisis data daripada 38,418 individu menerusi 22 kajian berasaskan populasi di 18 negara dan wilayah, menurut kenyataan pusat berkenaan pada Selasa.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Neurology itu menyediakan penanda aras global baharu bagi memahami kadar kes demensia dalam kalangan populasi berbeza, selain membantu menjelaskan perubahan corak penyakit berkenaan di seluruh dunia.
Kajian mendapati kadar kejadian demensia lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki, masing-masing sebanyak 10.6 dan 8.6 kes bagi setiap 1,000 tahun-orang.
Kadar itu juga jauh lebih tinggi di negara berpendapatan rendah dan sederhana, iaitu 13.6 kes bagi setiap 1,000 tahun-orang, berbanding 8.3 kes di negara berpendapatan tinggi.
Menurut kajian itu, demensia kini menjejaskan lebih 57 juta orang di seluruh dunia, manakala penyelidikan terdahulu mengunjurkan jumlah penghidap penyakit berkenaan meningkat kepada kira-kira 150 juta menjelang 2050.
"Kadar kejadian yang lebih tinggi di negara berpendapatan rendah dan sederhana amat membimbangkan kerana negara-negara ini mengalami penuaan penduduk yang pesat, namun sering mempunyai sumber paling terhad untuk pencegahan, diagnosis dan penjagaan," kata penulis kanan kajian itu yang juga Pengarah Bersama CHeBA, Prof Perminder Sachdev.
Bagaimanapun, penyelidik berkata kajian itu tidak mengenal pasti punca perbezaan kadar kejadian demensia berdasarkan jantina atau tahap pendapatan negara.
Perbezaan berkenaan mungkin dipengaruhi gabungan faktor kesihatan, sosial, ekonomi, pendidikan dan persekitaran, menurut mereka.






