ad
AGENDA

Pakar: PM jemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean-AS simbol diplomatik

12 Jul 2025, 1:00 AM
Pakar: PM jemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean-AS simbol diplomatik
Pakar: PM jemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean-AS simbol diplomatik
Pakar: PM jemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean-AS simbol diplomatik

SHAH ALAM, 12 JULAI: Jemputan rasmi Perdana Menteri kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk hadir Sidang Kemuncak Asean-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur mencerminkan usaha mengangkat peranan Asean sebagai landasan neutral dalam ketegangan geopolitik global.

Berlangsung di Kuala Lumpur Oktober depan, Pakar Geostrategi dan Hubungan Antarabangsa Prof Dr Azmi Hassan berkata jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Donald Trump itu juga dilihat sebagai mesej diplomatik, selaras aspirasi menjadikan Asean sebagai medan antarabangsa yang inklusif.

“Sempena lawatan Marco Rubio (Setiausaha Negara AS) semalam, Anwar mempelawa Trump untuk hadir ke Sidang Kemuncak Oktober ini, seperti mana beliau secara peribadi telah mempelawa Giorgia Meloni, Perdana Menteri Itali dan Presiden Brazil (Luiz Inacio Lula da Silva) ketika lawatan ke negara tersebut.

“Sidang Komuncak Asean Oktober ini adalah Sidang Kemuncak yang ada plus-plus (iaitu mengundang bukan saja negara anggota) tetapi rakan-rakan Asean, seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, India, Korea Selatan dan banyak lagi negara kuasa besar,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_709942" align="alignnone" width="902"] Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio selepas mengadakan mesyuarat dua hala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 Julai 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Menurut Azmi, kehadiran Trump diharap bukan sahaja menyelesaikan isu tarif dengan Asean, tetapi berbincang lebih banyak perkara merentasi isu sejagat dan geopolitik global seperti perang Iran-Israel, perang Ukraine serta ketegangan di Laut China Selatan dalam mesyuarat sisi dengan kuasa besar pada sidang kemuncak itu.

“Contohnya Menteri Luar Rusia (Sergey Lavrov) telah bertemu dengan Marco Rubio semalam dalam mesyuarat sisi (sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 (AMM).

“Jadi ini pentingnya. Anwar cuba membawa Asean itu lebih sentraliti, lebih terlibat dalam masalah-masalah geopolitik dunia dan juga turut menyeru dalam deklarasi Kuala Lumpur Sidang Kemuncak bulan Mei lepas tidak mahu negara Asean berpuak-puak memilih kuasa besar.

“Jadi sebab itu dijemput. Dikatakan akan dijemput juga kemungkinan besar, Presiden China Xi Jinping atau Narendra Modi (Perdana Menteri India) untuk hadir dan turut serta dalam Sidang Kemuncak Asean, supaya banyak isu-isu yang mungkin tidak berkait Asean dapat dibincangkan dan Asean digunakan sebagai landasan yang neutral dalam hal ini,” katanya.

Tambah Azmi, terdapat persepsi bahawa Malaysia dikatakan lebih akrab dengan China dan Rusia dalam hal geopolitik antarabangsa dan Malaysia sebagai pengerusi Asean dianggap akan membawa Asean ke arah blok tersebut.

“Tapi hakikatnya adalah, apabila Trump mengenakan tarif kepada Asean, Malaysia selaku pengerusi Asean, menasihatkan jangan mengambil tindakan yang dikatakan keras sebagai balasan tetapi buka pintu rundingan dan telah berlaku pintu rundingan.

“Dasar luar Malaysia juga jelas. Kalau kita ambil isu tarif sebagai contoh, kita mahu berbaik dengan semua orang. Tidak mahu mengenakan tindakan balas daripada Amerika syarikat.

“Tapi seperti kata Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dalam perbincangan-perbincangan beliau dengan wakil Trump, ada garis merah yang Malaysia tidak boleh berkompromi. Jadi dalam hal ini, kita mahu berbaik tetapi kedaulatan, hak kita tetap akan dijaga,” katanya.

[caption id="attachment_689016" align="alignnone" width="958"] Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan mengenai pendidikan semasa berkempen bersama penyokongnya di Davenport, Iowa pada 13 Mac 2023. Foto REUTERS[/caption]

Semalam, Anwar menerusi catatan di Facebook memaklumkan beliau telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Trump untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang disampaikan menerusi Rubio.

Menurutnya, Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.

Pertemuan kira-kira 40 minit itu diadakan di Bangunan Parlimen dan ia adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai setiausaha negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

Rubio berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian Asean 2025.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.