ad

Sidang Kemuncak Asean: Malaysia tonjol pengaruh diplomatik, Trump puji kepimpinan Anwar

27 Okt 2025, 12:30 AM
Sidang Kemuncak Asean: Malaysia tonjol pengaruh diplomatik, Trump puji kepimpinan Anwar
Sidang Kemuncak Asean: Malaysia tonjol pengaruh diplomatik, Trump puji kepimpinan Anwar
Sidang Kemuncak Asean: Malaysia tonjol pengaruh diplomatik, Trump puji kepimpinan Anwar
Sidang Kemuncak Asean: Malaysia tonjol pengaruh diplomatik, Trump puji kepimpinan Anwar

SHAH ALAM, 27 OKT: Hari pembukaan Sidang Kemuncak Asean ke-47 semalam menonjolkan peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan berpengaruh dan jambatan diplomatik penting dalam mempromosikan keamanan serta perpaduan serantau.

Peranan itu terserlah menerusi kejayaan memeterai Perjanjian Damai Thailand–Kemboja, kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam Asean di bawah pengerusiannya, serta kehadiran pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudah cara rundingan gencatan senjata tersebut.

Menurut Pakar Geostrategi Prof Azmi Hassan, kehadiran pemimpin berpengaruh dunia ke sidang berkenaan mencerminkan kebolehan Malaysia memimpin blok serantau secara efektif serta kedudukannya yang dihormati di pentas antarabangsa.

Felo Majlis Profesor Negara Profesor Dr Azmi Hassan

“Ia hari yang baik bagi Malaysia dari sudut diplomasi antarabangsa. Kehadiran ramai pemimpin global menunjukkan pengaruh negara semakin meningkat dalam Asean,”kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantarakepada Media Selangor.

Selain Trump dan pemimpin Asean, turut hadir Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.

Perdana Menteri China Li Qiang pula tiba di Malaysia lewat petang semalam.

Peranan penting Malaysia sebagai perantara

Azmi menambah, kemampuan Malaysia mempertemukan Thailand dan Kemboja sehingga termeterainya Perjanjian Kuala Lumpur mengejutkan masyarakat antarabangsa kerana rundingan berlangsung singkat namun berkesan.

Katanya, langkah itu memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara yang berkemampuan dan disegani, sekali gus mengangkat statusnya sebagai kuasa sederhana yang dihormati.

“Kejayaan ini meningkatkan imej Malaysia bukan sahaja sebagai kuasa utama dalam Asean, tetapi juga sebagai jambatan antara negara-negara Selatan dan Utara Global.

“Bagi sebuah negara kecil untuk berjaya mempertemukan dua pihak yang berkonflik dan mencapai persetujuan gencatan senjata segera, ia membuktikan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati,” ujarnya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (kanan) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai Kemboja–Thailand antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 Oktober 2025. Foto BERNAMA

Konflik di antara Thailand dan Kemboja tercetus pada 28 Mei lalu apabila berlaku insiden tembak-menembak di kawasan sengketa “Segi Tiga Zamrud” berhampiran Kuil Preah Vihear, mengorbankan seorang askar Kemboja. Ketegangan itu menjejaskan hubungan dua hala serta aktiviti perdagangan sempadan di beberapa pintu utama.

Asean kian bersatu hadapi cabaran geopolitik

Menurut Azmi, sidang kali ini turut memperlihatkan kesediaan baharu dalam kalangan negara anggota Asean untuk mencapai kesepakatan terhadap isu yang sebelum ini memecahbelahkan, termasuk pertikaian Laut China Selatan.

“Kesepakatan Asean dalam menangani konflik sesama anggota, walaupun mengetepikan isu Myanmar, menunjukkan blok ini kini lebih bersatu dan matang menghadapi cabaran geopolitik.

“Dalam situasi global yang semakin kompleks, Asean memilih untuk kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar,” katanya.

Tambahnya, kekuatan diplomatik yang semakin meningkat ini menggambarkan tekad Asean untuk kekal relevan, bebas dan bersatu di tengah-tengah ketegangan global yang memuncak.

Pemandangan Sidang Kemuncak Asean–Amerika Syarikat ke-13 yang sedang berlangsung sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, pada 26 Oktober 2025. Foto BERNAMA