SHAH ALAM, 31 JULAI: Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM611 bilion dengan RM430 bilion membabitkan dana kerajaan dalam tempoh 2026 hingga 2030.
Perdana Menteri berkata baki RM120 bilion dibiayai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) manakala RM61 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP).
Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RM227 bilion diperuntuk kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
“Bagi pendidikan sebanyak RM67 bilion, kesihatan sebanyak RM40 bilion, keselamatan RM51 bilion dan pentadbiran RM17 bilion.
“Agihan strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga menteri kewangan memberitahu lima tahun mendatang adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan ke arah negara berpendapatan tinggi.
“Menyedari cabaran trend mega dan isu kelemahan struktur ekonomi, maka asas ekonomi Malaysia perlu dirungkai semula.
“Ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Kita perlu melonjakkan kerencaman ekonomi dengan beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi,” ujarnya.