ad
SELANGOR

Gudang barangan runcit terbakar, tiga warga asing terselamat

9 Jul 2025, 2:04 AM
Gudang barangan runcit terbakar, tiga warga asing terselamat

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Tiga warga asing terselamat dalam kebakaran sebuah gudang barangan runcit empat tingkat di Jalan Tandang, Petaling Jaya, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.05 pagi sebelum 16 anggota bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan tingkat bawah bangunan gudang berkeluasan 60 x 100 kaki persegi dan dianggarkan 40 peratus daripada struktur bangunan terjejas. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.04 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa, iaitu seorang lelaki India serta pasangan warga Myanmar tidak mengalami kecederaan.

Operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrul Nizam Shamshudin, melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala, Petaling Jaya dan Damansara.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.