ADN

DUN Banting rai pelajar cemerlang SPM, 50 terima cermin mata

6 Jul 2025, 12:08 PM
DUN Banting rai pelajar cemerlang SPM, 50 terima cermin mata
DUN Banting rai pelajar cemerlang SPM, 50 terima cermin mata
DUN Banting rai pelajar cemerlang SPM, 50 terima cermin mata

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 15 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menerima sumbangan RM500 bagi mengiktiraf kejayaan mereka dalam peperiksaan itu.

Wakil rakyat Banting berkata sumbangan keseluruhan berjumlah RM7,500 itu bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi simbol penghargaan dan galakan supaya terus cemerlang dalam pendidikan tinggi dan alam pekerjaan.

“Saya harap program ini akan menjadi acara tahunan dan berkembang dari semasa ke semasa, agar lebih ramai pelajar dapat diraikan.

“Kita mahu mencipta budaya penghargaan terhadap kecemerlangan dan membudayakan ilmu dalam masyarakat DUN Banting,” kata V Papparaidu pada majlis penyampaian sumbangan itu.

[caption id="attachment_708986" align="aligncenter" width="1023"] Ahli Dewan Negeri Banting V Papparaidu menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam program di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting pada 6 Julai 2025. Foto V Papparaidu[/caption]

Pada majlis itu, Papparaidu yang juga EXCO Pembasmian Kemiskinan turut menyempurnakan serahan cermin mata kepada 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Kuala Langat yang dikenal pasti memerlukan bantuan daripada segi penglihatan.

“Sebahagian daripada mereka mengalami kesukaran untuk membaca dan belajar kerana masalah rabun, namun tidak mampu mendapatkan rawatan atau cermin mata kerana kekangan kewangan keluarga.

“Ini tanggungjawab kita, memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang, dapat belajar dalam keadaan selesa dan seimbang.

“Dengan bantuan cermin mata ini, saya berharap prestasi pembelajaran mereka bertambah baik dan program ini juga akan diperluas ke sekolah lain dalam DUN Banting, supaya lebih ramai

pelajar mendapat manfaat.,” katanya.

[caption id="attachment_708984" align="aligncenter" width="1168"] Antara penerima sumbangan dalam program Anugerah Kecemerlangan SPM dan sumbangan cermin mata pelajar 2025 di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting pada 6 Julai 2025. Foto V Papparaidu[/caption]