ad
PBT

MPKS serbu premis dioperasi warga asing, sita alatan niaga

3 Jul 2025, 7:39 PM
MPKS serbu premis dioperasi warga asing, sita alatan niaga
MPKS serbu premis dioperasi warga asing, sita alatan niaga

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan enam kompaun terhadap premis di Sungai Buloh dan Sungai Sembilang, Jeram yang dijalankan warga asing tanpa kelulusan.

MPKS menerusi kenyataan memaklumkan operasi pada Rabu turut mengeluarkan empat notis penutupan premis dan sitaan peralatan perniagaan bagi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula telah membuat pemeriksaan terhadap individu warga asing dan menahan seramai 14 warga asing bagi siasatan lanjut terhadap dokumen perjalanan dan status keberadaan mereka di negara ini.

"Tindakan tegas ini mencerminkan komitmen semua agensi yang terlibat dalam mengekang aktiviti perniagaan haram serta memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pengusaha premis," katanya.

[caption id="attachment_708403" align="alignnone" width="968"] Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan kompaun terhadap premis yang dijalankan warga asing menerusi Ops Bersepadu Warga Asing di Jeram pada 2 Julai 2025. Foto Facebook MPKS[/caption]

Selain JIM, turut terlibat dalam operasi berkenaan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Jabatan Teknikal MPKS melibatkan kekuatan seramai 52 pegawai dan anggota.

Dalam pada itu, MPKS meminta orang awam melaporkan sebarang aktiviti perniagaan mencurigakan atau tidak mempunyai lesen sah kepada pihak berkuasa demi kesejahteraan bersama.

"MPKS akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa demi memastikan persekitaran perniagaan di daerah Kuala Selangor kekal kondusif, terkawal dan berlandaskan undang-undang," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.