SHAH ALAM, XX NOV: Air Selangor menyasarkan pembentukan generasi Wira Air yang memahami kepentingan pemuliharaan sumber air serta mampu menggalakkan amalan penjimatan air dalam keluarga dan komuniti menerusi Karnival Wira Air 2026.
Inisiatif sulung yang dijadual berlangsung pada 28 November 2026 itu memberi tumpuan kepada pelajar dan sekolah sebagai platform memupuk kesedaran serta membentuk tabiat penggunaan air secara bertanggungjawab sejak usia muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, peranan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan air terawat yang bersih dan selamat bukan sekadar membekalkan sumber berkenaan, malah turut meliputi usaha mendidik pengguna supaya memahami nilai air dan menggunakannya secara berhemah.
"Sebagai penyedia perkhidmatan air, peranan Air Selangor bukan sekadar membekalkan air. Kami juga mahu menggalakkan pengguna memahami nilai air dan menggunakannya secara bertanggungjawab," menurutnya dalam kenyataan kepada Media Selangor.
Tambahnya, sekolah menjadi landasan penting untuk membentuk pengetahuan, amalan dan nilai berkaitan penggunaan air sejak usia muda, manakala pelajar berpotensi menjadi agen perubahan dengan membawa ilmu yang diperoleh kepada keluarga dan komuniti.
Jika sebelum ini program kesedaran penjimatan oleh Air Selangor hanya tertumpu kepada satu-satu sekolah, skop ini diperluas dengan penganjuran karnival seperti ini yang dapat menghimpunkan lebih banyak sekolah dalam daerah yang sama.
Menerusi kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, karnival itu turut menjadi platform untuk memperluas mesej penjimatan air kepada sekolah yang mengambil bahagian di daerah berkenaan.
Bagi memastikan mesej itu lebih mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian, karnival berkenaan menggunakan pendekatan pembelajaran interaktif serta berasaskan pengalaman.
"Kami mahu orang ramai mempelajari penjimatan air bukan sekadar dengan mendengar, tetapi dengan melihat, mencuba dan mengalaminya sendiri," kata Adam lagi.
Pendekatan itu diterapkan menerusi gabungan elemen pendidikan, inovasi, aktiviti fizikal, pameran interaktif dan penglibatan komuniti, selain menghimpunkan sekolah, agensi kerajaan, rakan strategik serta pempamer bagi menggalakkan penggunaan air secara bertanggungjawab.
Komitmen bersama
Menurut Adam lagi, usaha memastikan kelestarian sumber air memerlukan komitmen semua pihak dan tidak boleh bergantung kepada penambahbaikan infrastruktur serta operasi pengendali perkhidmatan air semata-mata.
Sebaliknya, usaha itu perlu disokong dengan perubahan amalan di peringkat pengguna, termasuk mengelakkan pembaziran dan menggunakan air secara lebih cekap.
"Setiap titisan air terawat mempunyai nilainya tersendiri dan setiap individu memainkan peranan untuk menggunakannya secara berhemah,” katanya.
Amalan penjimatan boleh dimulakan dengan tindakan mudah seperti mengelakkan penggunaan air yang tidak diperlukan serta mengenal pasti punca pembaziran dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, kejayaan Karnival Wira Air bukan hanya bergantung kepada jumlah pengunjung, sebaliknya lebih penting ialah perubahan amalan peserta selepas menyertai program berkenaan, dan ini merupakan salah satu langkah yang dijalankan oleh Air Selangor dalam menyokong sasaran penggunaan air domestik iaitu 180 liter per kapita sehari (LCD) yang ditetapkan oleh kerajaan melalui PETRA.
"Kejayaan Karnival Wira Air bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pengunjung yang menghadiri program ini. Kejayaan sebenar adalah berdasarkan perubahan amalan peserta selepas mereka meninggalkan karnival," katanya.
Justeru, Air Selangor berharap pengetahuan yang diperoleh peserta dapat diterjemahkan kepada amalan penjimatan air di sekolah, rumah dan komuniti, sekali gus menjadikan penggunaan air secara bertanggungjawab sebagai kebiasaan sebelum berkembang menjadi budaya masyarakat.


![[PLACEHOLDER] Karnival Wira Air sasar lahir generasi jimat air](https://mssb-media.xcms.io/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/11/3f2a21c664e5a0c7ac98861d2d499de3.jpg=s600)
![[PLACEHOLDER] Karnival Wira Air sasar lahir generasi jimat air](https://mssb-media.xcms.io/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/11/3f2a21c664e5a0c7ac98861d2d499de3.jpg)



