OLEH ANNA FARINA ABDUL RAUF
SHAH ALAM, 23 UN: Selangor FC mengumumkan secara rasmi kehadiran pemain tengah Thailand, Picha Autra, sebagai pemain import terbaharu skuad Merah Kuning.
Pemain berusia 29 tahun itu bakal memperkuat cabaran pasukan Red Giants dalam saingan Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab Asean musim 2025/26.
Ketua Jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi menyifatkan kehadiran Picha sebagai nilai tambah yang penting kepada pasukan menjelang musim baharu.
“Beliau menunjukkan sikap profesional dan semangat juang tinggi yang sangat selari dengan DNA Selangor FC. Saya yakin dengan kehadirannya, kita akan lebih bersedia mencapai sasaran musim ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Picha berkata keputusannya berpindah ke Malaysia adalah satu cabaran peribadi yang dinanti-nantikannya.
“Saya memilih Selangor FC kerana ini peluang besar untuk menimba pengalaman antarabangsa dan keluar dari zon selesa saya. Kelab ini sangat profesional dan bertaraf tinggi, saya bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Red Giants,” katanya.
Beliau turut menzahirkan tekad untuk segera menyesuaikan diri dan membina hubungan erat bersama barisan kejurulatihan serta rakan sepasukan.
“Saya mahu cepat memahami budaya di sini, serasi dengan taktikal pasukan dan menggunakan pengalaman saya untuk membantu rakan-rakan menghadapi tekanan di peringkat kompetitif,” tambahnya.
Picha memulakan kariernya di Liga Thailand, dia berjaya membuat penampilan sulung seniornya bersama Nakhon Nayok dengan beraksi dalam 19 perlawanan.
Picha terus mencipta namanya bersama Samut Prakan City FC (Pattaya United FC) di mana dia berjaya membuat 114 penampilan serta menjaringkan 19 gol serta 13 bantuan jaringan di Thailand divisyen 1 bagi musim 2015 sehingga 2020.
Rekod itu melayakkan beliau dipanggil ke skuad senior Thailand pada 2019.
Tahun seterusnya, pemain akademi Muangthong United ini kembali menabur bakti selama empat musim di mana dia bukan sahaja tonggak utama pasukan tetapi menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan yang dihormati dikalangan pemain Muangthong United FC.
Sepanjang bersama kelab itu, dia beraksi dalam 159 penampilan dan dua daripadanya merupakan perlawanan pusingan Kumpulan Liga Juara-Juara AFC II (ACL II) 2024/25 menentang Selangor FC.
Selain rekod peribadi bersama kelab yang sangat baik, Picha juga adalah pemilik medal emas Kejohanan AFF 2020 bersama skuad senior Thailand dan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 bersama pasukan bawah 23 tahun Thailand.