KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Selangor FC hari ini mengumumkan pasukan itu telah menamatkan khidmat Katsuhito Kinoshi sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
Red Giants dalam kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Kinoshi atas sumbangan, usaha serta komitmen beliau sepanjang tempoh berkhidmat bersama pasukan itu.
“Christophe Gamel (dari Perancis) akan mengambil alih peranan itu buat sementara waktu, sementara kami mencari ketua jurulatih tetap,” menurut kenyataan itu.
Selangor kini berada di tangga kelima dalam saingan Liga Super selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan tiga kekalahan.
Red Giants turut menewaskan Tampines Rovers dari Singapura 4-2 pada Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 pada 24 Sept lepas.
Kinoshi, 61, dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor selepas Nidzam Jamil melepaskan jawatan itu pada Oktober tahun lepas.
Di bawah bimbingan jurulatih dari Jepun itu, Selangor menamatkan kemarau kejuaraan hampir sedekad dengan menjulang Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024-2025.
-- BERNAMA
TAG: sukan, bola sepak, Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, pecat, Christophe Gamel