ad
AGENDA

Selangor FC serah perancangan musim depan kepada Katsuhito Kinoshi

7 Jan 2025, 4:58 AM
Selangor FC serah perancangan musim depan kepada Katsuhito Kinoshi

SHAH ALAM, 7 JAN: Selangor FC menyerahkan segala perancangan tahun depan skuadnya itu kepada Ketua Jurulatih Katsuhito Kinoshi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata Kinoshi dalam fasa mengenali dan menilai prestasi pemain bagi memastikan persediaan skuad Gergasi Merah pada musim depan berjalan lancar.

“Sejak dilantik, beliau bukan sahaja dalam fasa mengenali skuad sedia ada tetapi dalam pasukan Liga Malaysia lain untuk melihat keperluan membawa masuk mana-mana pemain yang diperlukan.

“Dalam tempoh hingga dua bulan dari sekarang, kelab akan memulakan gerak kerja mengenal pasti pemain yang ingin disimpan dan dilepaskan,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Johan memaklumkan pihaknya merancang mendapatkan khidmat beberapa pencari bakat kelab untuk mendapatkan pemain terbaik bagi skuad utama.

“Projek untuk mereka membantu kami mencari pemain yang sesuai untuk diserapkan dalam Selangor FC.

“Ia termasuk pencari bakat dari kelab Amerika Syarikat, Minnesota United FC. Perbincangan bersama beliau masih berjalan,” ujarnya.

Kinoshi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC yang baharu pada November tahun lepas bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nidzam Jamil, yang meletak jawatan secara mengejut pada Oktober tahun sama.

Bekas jurulatih Jepun itu disifatkan sebagai individu yang berpengalaman luas serta akan membawa pengetahuan mendalam tentang permainan dan ciri-ciri kepimpinan yang kukuh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.