SHAH ALAM, 6 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menyerahkan 18 lembu dan 20 kambing bagi menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.
Wakil rakyatnya Datuk Johan Abdul Aziz berkata lapan daripada lembu berkenaan merupakan sumbangan Kerajaan Negeri yang akan diagihkan kepada masjid dan surau terpilih mengikut sistem penggiliran.
“Sebanyak 10 ekor lembu tambahan iaitu lima ekor bagi setiap DUN merupakan sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dusun Tua serta Pejabat Penyelaras DUN Semenyih.
“Moga agihan ini dapat membantu memeriahkan ibadah korban serta memperkukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada peranan institusi masjid dan surau dalam menyatukan masyarakat.
“Semoga ibadah korban tahun ini berjalan lancar, diberkati Allah dan menjadi lambang perpaduan serta kasih sayang sesama umat Islam,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini.
Menurut beliau, sebanyak 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing akan diagihkan kepada institusi agama Islam di seluruh negeri.