ad
PBT

MBPJ sita premis tanpa lesen, 637 warga asing ditahan

30 Mei 2025, 12:18 PM
MBPJ sita premis tanpa lesen, 637 warga asing ditahan

SHAH ALAM, 30 MEI: Sebanyak tiga premis perniagaan tanpa lesen dikendalikan warga asing dikenakan tindakan sitaan dan diarahkan tutup dalam operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada bulan ini.

Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia turut menahan 637 warga asing dalam serbuan berasingan di beberapa lokaliti.

“MBPJ-JIM melaksanakan pemantauan di kawasan seperti Kampung Chempaka, Jalan PJU 1, Flora Damansara, PJU 8 serta Apartment Mentari Court dan PJS 8.

“Sebanyak 34 semakan premis dibuat dan hasil operasi penguatkuasaan juga lima tindakan kompaun dan satu tindakan notis turut dikeluakan,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis baru-baru ini.

Menurut Mohamad Zahri, MBPJ bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor turut membuat pemantauan pematuhan penanda harga, sukatan dan timbangan dalam sebuah operasi di Pasar Awam, Jalan Othman.

“Hasil operasi penguatkuasaan membabitkan 153 pemeriksaan ke atas penjaja serta penyewa gerai dan satu tindakan kompaun di bawah Akta Timbang sukat 1972.

“Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan kepada perundangan yang diguna pakai,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak sentiasa cakna serta mematuhi perundangan yang ditetapkan bagi memastikan aktiviti perniagaan sentiasa mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.