SHAH ALAM, 27 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meraih tiga anugerah berprestij hasil inisiatif cemerlang dalam pembangunan landskap, seni bina dan teknologi hijau.
Timbalan Yang Dipertuanya berkata dua anugerah dirangkul dalam Anugerah Landskap dan Seni Bina Malaysia 2025 (MLAA15) iaitu Honour Award 2025 bagi kajian bertajuk Conservation Of The Sri Banting Dredge and The Development Of The Tin Mining Heritage Park In Dengkil@ Sepang.
Muhamad Shah Osmin berkata kajian itu mengenai kapal korek yang menjadi lambang penting sejarah perlombongan bijih timah negara yang bukan saja mencerminkan kemajuan teknologi perlombongan pada zamannya, malah menjadi bukti warisan industri yang membentuk ekonomi dan pembangunan negara.
“Selain itu, MPSepang turut menerima anugerah merit bagi kategori Anugerah Green Initiative Award (Government) bagi projek kebun bandar Cyberjaya yang dimulakan pada 2023 bagi memperkenal konsep pertanian bandar kepada komuniti dan menarik pelancong.
“Kawasan keseluruhan seluas tujuh ekar merangkumi lapan plot penanaman padi serta lebih 400 pokok buah-buahan juga ditanam di kawasan tersebut melibatkan 20 jenis spesis,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang hari ini.
Dalam pada itu, katanya setakat ini, 162 kucing berjaya diselamatkan dan diberi rawatan sepanjang tiga tahun pengoperasian Taman Kucing Cyberjaya.
“Sehingga bulan ini, 110 ekor kucing berjaya diangkatkan menerusi program “take me home” yang mana taman ini bukan sahaja menjadi tempat kucing beriadah, tetapi platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab,” katanya.