SELANGOR

Lebih 930,000 pelajar di Selangor pakai lencana Jalur Gemilang

21 Apr 2025, 5:22 AM
Lebih 930,000 pelajar di Selangor pakai lencana Jalur Gemilang
Lebih 930,000 pelajar di Selangor pakai lencana Jalur Gemilang
Lebih 930,000 pelajar di Selangor pakai lencana Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 21 APRIL: Seramai 937,819 murid di 945 sekolah rendah dan menengah di Selangor mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr Jafri Abu berkata pemakaian lencana bendera itu menandakan golongan berkenaan merupakan ikon atau duta kecil kepada negara.

“Lencana ini bukan sekadar hiasan di dada tetapi merupakan lambang besar sebuah jati diri kebangsaan. Dengan memakainya, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat kenegaraan, tetapi menyemai benih kemuliaan insan dari sudut akhlak, ilmu, empati dan amanah.

“Oleh itu, lencana ini merupakan ikon bahawa kita ialah duta kecil negara dan pencorak kepada masa depan Malaysia kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan majlis simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, hari ini.

[caption id="attachment_697729" align="alignnone" width="780"] Pelajar melafazkan ikrar dalam Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam pada 21 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Dr Jafri menjelaskan antara objektif pemakaian lencana Jalur Gemilang adalah meningkatkan semangat patriotisme, menerapkan nilai cintakan negara, memupuk perpaduan dan mewujudkan perasaan bangga dan sayang terhadap negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menjiwai nilai-nilai kebangsaan yang terkandung dalam lencana Jalur Gemilang. Setiap jalur dan warna membawa mesej yang mendalam tentang perpaduan, keharmonian, keberanian dan kedaulatan.

“Saya berharap setiap murid dapat memakai lencana ini dengan penuh rasa bangga dan amanah. Seperti peribahasa Melayu 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Kita mestilah menghormati dan menyayangi tanah air ini dengan sepenuh hati,” katanya.

[caption id="attachment_697728" align="alignnone" width="833"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memakaikan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar dalam Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam pada 21 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memakaikan lencana sekolah kepada enam pelajar di SMK Seksyen 9 sebagai acara simbolik dan pelancaran majlis berkenaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.

Inisiatif ini susulan langkah KPM melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah kelolaannya secara berperingkat mulai hari ini.