ADN

Sudut mainan di PPS Masjid Putra Heights ceriakan lebih 100 kanak-kanak

9 Apr 2025, 1:29 PM
Sudut mainan di PPS Masjid Putra Heights ceriakan lebih 100 kanak-kanak
Sudut mainan di PPS Masjid Putra Heights ceriakan lebih 100 kanak-kanak

Oleh Safiah Faizal

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights ceria dengan kewujudan sudut mainan ‘Toy Library’ khusus buat kanak-kanak yang ditempatkan di situ.

Ia adalah hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin terhadap mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi berkata sumbangan daripada pelbagai pihak itu diharap dapat menceriakan 110 kanak-kanak di situ.

"Mainan ini masih dalam keadaan baik, selamat dan sesuai digunakan. Ia dapat mengisi masa lapang anak-anak ini sepanjang berada di sini.

"Selain itu, sudut khas juga disediakan bagi menjalankan aktiviti santai dan pembacaan di situ,” katanya ditemui selepas menerima sumbangan mainan itu daripada wakil Toys Unlimited Datin Poai Hong Wong di sini hari ini.

Abbas berkata, jika PPS itu ditutup mainan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kegunaan pada masa hadapan.

Beliau berkata inisiatif itu sangat positif sekali gus menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap keadaan mangsa khususnya kanak-kanak.

[caption id="attachment_695924" align="aligncenter" width="1190"] Kanak-kanak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights bermain mainan yang disumbang pelbagai pihak pada 9 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]