ad
EXCO

Letupan gas: LPHS tawar penempatan sementara, boleh masuk segera

4 Apr 2025, 3:54 AM
Letupan gas: LPHS tawar penempatan sementara, boleh masuk segera
Letupan gas: LPHS tawar penempatan sementara, boleh masuk segera

SHAH ALAM, 4 APRIL: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan kediaman di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan kepada mangsa letupan gas Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah menjelaskan inisiatif menerusi Skim Smart Sewa menyediakan 116 unit rumah yang boleh dimohon pada bila-bila masa sebagai penempatan sementara.

“Ia rumah baharu, tiga bilik berkeluasan 1,000 kaki persegi, elektrik dan air kita sudah masukkan tetapi tiada perabot. Mereka boleh buat permohonan pada bila-bila masa, ada petugas bersedia.

“Untuk kes bencana kita sedia beri masuk segera. Hubungi sahaja nombor yang dikongsi, mereka akan maklumkan tatacara. Beberapa syarat kita longgarkan sedikit,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_674534" align="aligncenter" width="808"] EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Laman Hijau Selangor 2024 di Midland Convention Centre, Seksyen 7, Shah Alam pada 23 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Menurut Borhan, mereka yang memerlukan boleh berhubung terus dengan Perumahan dan Hartanah Selangor Sendirian Berhad (PHSSB) di talian 03-5102 9612 atau e-mel [email protected].

Maklumnya, kadar sewa rumah yang ditetapkan menerusi skim itu sebanyak RM850, namun ia akan dibincangkan bersama pihak terlibat untuk membantu mangsa bencana yang terkesan.

“Soal sewa atau perkara berkaitan, kita boleh bincang dengan Kerajaan Negeri atau persekutuan. Kita mahu bantu mereka. Selepas cuti ini perlu tempat tinggal, bekerja, anak bersekolah,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 lagi masih boleh didiami selepas baik pulih.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.