SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengumpulkan 2,543.82 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman menerusi program MySave Food@BazarRamadan.
MPAJ memaklumkan program dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) bermula sejak 7 hingga 20 Mac lalu berlangsung di tiga bazar Ramadan.
Jelasnya, bazar Ramadan terlibat adalah di Pandan Indah, Bandar Baru Ampang dan Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana.
“Lebihan makanan dan minuman dikumpulkan peniaga bazar kemudian diagihkan kepada masjid, surau dan rumah anak yatim.
“Inisiatif ini bertujuan memberi galakan kepada peniaga untuk menyelamatkan makanan dan mengelakkan pembaziran,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut melaksanakan inisiatif sama dengan pengumpulan hampir sembilan tan lebihan makanan dan minuman dari bazar Ramadan.


