Oleh Yasmin Ramlan
SUBANG JAYA, 22 MAC: Seramai 19 peniaga bazar Ramadan sekitar Subang Jaya menerima bantuan tunai RM300 seorang susulan insiden ribut petir baru-baru ini, yang menyebabkan kerugian.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan ihsan itu bagi meringankan beban mereka berdepan situasi mencabar.
“Semasa bulan Ramadan, kejadian seperti ini kerap berlaku, dan kerajaan Selangor sentiasa bersedia dengan pelbagai bentuk bantuan kepada peniaga terjejas,” katanya semasa majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan MBI dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di SS19 semalam.
[caption id="attachment_692831" align="aligncenter" width="781"] ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) kepada peniaga bazar pada program Serahan Sumbangan Ehsan Bersama MBI dan Pejabat ADN Subang Jaya di Bazar Ramadan SS19, Subang Jaya pada 21 Mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]
Pada 9 Mac, ribut petir memusnahkan beberapa kawasan kejiranan di Subang Jaya, termasuk SS19, SS18, dan SS14, menyebabkan peniaga di bazar Ramadan terkesan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata pejabatnya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut melalui sebuah video yang tular.
Beliau turut berterima kasih kepada Yayasan MBI atas sumbangan diberikan dan menambah pejabatnya menyediakan khemah untuk peniaga yang terjejas susulan kejadian itu.
“Ada peniaga yang bukan sahaja kehilangan khemah tetapi juga wang tunai, malah ramai yang hilang semangat untuk meneruskan perniagaan.
“Walaupun bantuan ini mungkin tidak seberapa, kami berharap ia dapat meringankan beban mereka dan membantu mereka bangkit daripada kerugian,” kata Michelle.
Sementara itu, salah seorang peniaga yang terjejas Maidatulliwanis Suman, 39, berkata dia mengalami kerugian sebanyak RM700, termasuk barangan yang rosak dan wang yang hilang.
[caption id="attachment_692830" align="aligncenter" width="811"] ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) bersama Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat gerai peniaga bazar Ramadan selepas menyerahkan sumbangan ihsan Bazar Ramadan SS19, Subang Jaya pada 21 Mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]
“Kira-kira jam 3 petang, angin kencang menyebabkan khemah dan troli tumbang. Minyak panas tumpah, barang yang dibungkus musnah, dan wang melayang ke merata tempat,” kata peniaga churros itu.
Berikutan itu, dia meluahkan rasa syukur atas bantuan segera daripada wakil rakyat yang menyediakan khemah sehari selepas kejadian, membolehkannya terus berniaga.
“Saya tidak menjangka akan menerima bantuan secepat ini. Kami diberi khemah, dan menerima bantuan kewangan. Bantuan ini benar-benar membantu kami untuk bangkit semula,” katanya.
Siti Khadijah Raie, 38, yang berniaga selama enam tahun, menganggarkan kerugian sekitar RM1,000. Dia mengakui bahawa kejadian itu menyebabkan dirinya hampir berputus asa.
“Saya hilang keyakinan untuk terus berniaga, tetapi apabila YB datang dan memberikan khemah, saya paksa diri untuk teruskan. Ini adalah sumber pendapatan utama saya — saya menjual burger pada hari biasa dan minuman sepanjang Ramadan,” kata ibu kepada dua anak itu.
Siti Khadijah, yang berada di gerai bersama anak perempuannya semasa kejadian menambah dia terpaksa meminjam wang daripada keluarganya untuk bangkit semula.
“Syukurlah, bantuan tiba pada hari yang sama. Sokongan ini amat bermakna kerana saya benar-benar hilang semangat untuk meneruskan perniagaan,” katanya.