SHAH ALAM, 17 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda hampir semua daerah di Selangor sehingga 6 petang.
Menurut MetMalaysia, daerah berkenaan ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Agensi itu mengeluarkan amaran sama di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Johor selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



