AGENDA

Peralihan monsun dijangka mula minggu depan, waspada cuaca buruk

11 Mac 2025, 5:52 AM
Peralihan monsun dijangka mula minggu depan, waspada cuaca buruk

SHAH ALAM, 11 MAC: Ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang terutama di Semenanjung ketika ini adalah fenomena biasa sebelum peralihan monsun yang dijangka bermula hujung minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata arah angin yang pelbagai dengan kekuatan lemah menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan seterusnya menghasilkan hujan dan ribut petir setempat dalam tempoh singkat, lapor Berita Harian.

"Cuaca cerah dan panas pada sebelah pagi menyebabkan aktiviti perolakan lebih aktif dan berpotensi menghasilkan awan kumulonimbus yang lebih besar menjelang awal petang.

"Awan yang lebih besar ini berpotensi menghasilkan hujan lebat dan angin kencang yang ada kalanya disusuli hujan batu, belalai air atau darat," katanya mengulas keadaan hujan pada waktu petang berserta ribut petir dan angin kencang di Semenanjung kebelakangan ini.

Menurut Mohd Hisham keadaan cuaca ketika ini turut berisiko mengakibatkan pokok tumbang, kerosakan pada struktur tidak kukuh dan banjir kilat.

Justeru, orang ramai berhati-hati dengan keadaan cuaca sebegini kerana selain hujan lebat dan angin kencang, sambaran kilat turut berbahaya.

"Orang ramai diminta peka dengan perubahan cuaca dan mengikuti METMalaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang (www.met.gov.my)," katanya.

Berdasarkan infografik Ramalan Cuaca Signifikan (RCS), satu analisis terhadap model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan angin timuran sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di pantai timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu namun berdasarkan perkembangan semasa, ibu negara turut dilanda hujan lebat dan ribut.