AMPANG JAYA, 8 MAC: Sejumlah RM745,000 diperuntuk kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sempena Ramadan ini.
Penyelarasnya Juwairiya Zulkifli berkata jumlah merangkumi sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebanyak RM565,000 bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan.
Manakala baki berjumlah RM180,000 dikhaskan untuk agihan baucar bernilai RM200 kepada 900 keluarga menerusi program Jom Shopping Aidilfitri.
“Untuk program Ihya Ramadan, kita beri bantuan kepada 45 rumah ibadah termasuk lapan masjid, yang masing- masing menerima sumbangan RM20,000.
“Selebihnya kita agihkan kepada 37 surau dan musolla untuk melaksanakan program pengimarahan sepanjang Ramadan ini,” katanya pada majlis turun padang Dato’ Menteri Besar ke bazar Ramadan AU 1, dekat sini.
Juwairiya berkata penerima bantuan Jom Shopping Perayaan akan mendapat baucar pada 23 Mac depan bagi memudahkan mereka menyediakan keperluan raya.
“Sekarang kita sedang kenal pasti jeluarga layak. Harap bantuan ini dapat memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka,” katanya.
Tahun ini Kerajaan Negeri menyediakan 36,350 baucar RM200 sempena Aidilfiri yang disambut hujung bulan ini. Jumlah itu sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM12 juta.