PBT

MPAJ ajak orang ramai kongsi rezeki bersama anak yatim, rumah kebajikan

6 Mac 2025, 4:17 AM
MPAJ ajak orang ramai kongsi rezeki bersama anak yatim, rumah kebajikan

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengajak orang ramai memberi sumbangan berupa barangan asas menerusi program Kongsi Rezeki.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan, barangan keperluan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada pertubuhan rumah kebajikan dan anak yatim di sekitar Ampang Jaya.

“Antara barangan keperluan yang boleh disumbangkan adalah beras, minyak masak, gula, susu tin dan lampin pakai buang.

“Barangan tersebut boleh dihantar atau diletakkan di bakul Kongsi Rezeki yang disediakan di Lobi Aras 4, Menara MPAJ bermula 3 Mac lalu,” katanya.

Dalam pada itu, MPAJ juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai kepada Endowmen MPAJ bagi melaksana pelbagai inisiatif bermanfaat kepada warga Ampang Jaya.

Menurutnya, Endowmen MPAJ telah menyalurkan sumbangan kepada lapan pertubuhan kebajikan selain duit raya kepada anak-anak yatim dengan jumlah keseluruhan RM11,000 pada tahun lalu.

Sumbangan boleh dibuat secara tunai atau menggunakan kad kredit/kad debit di kaunter hasil MPAJ atau menerusi akaun Bank Islam MPAJ (nombor akaun 12122010044609).