MPAJ salur sumbangan RM58,000 kepada masjid, rumah kebajikan sempena Ramadan

16 Feb 2026, 10:00 AM
MPAJ salur sumbangan RM58,000 kepada masjid, rumah kebajikan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 16 FEB: Dalam semangat menyemarakkan Ramadan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyalurkan sumbangan berjumlah RM58,000 kepada masjid, surau, rumah kebajikan dan sekolah tahfiz dalam kawasan pentadbirannya.

MPAJ memaklumkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan 22 masjid, 27 surau solat Jumaat, lapan rumah kebajikan dan dua sekolah tahfiz.

“Setiap masjid, surau solat Jumaat serta rumah kebajikan menerima sumbangan wang tunai RM1,000 manakala sekolah tahfiz menerima sumbangan wang tunai RM500.

“Sumbangan disampaikan sebagai inisiatif menyokong usaha pengurusan masjid, surau, rumah kebajikan dan sekolah dalam memperkukuh program keagamaan serta kebajikan komuniti terutamanya sepanjang Ramadan kali ini,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari. Foto Facebook MPAJ

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Ampang pada 12 Februari lalu.

Dalam pada itu, MPAJ turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai berupa makanan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi program Kongsi Rezeki sepanjang Ramadan.

Sumbangan boleh disalurkan dengan meletakkan barangan keperluan di Lobi Aras 4, Menara MPAJ bermula 19 Februari ini.