SHAH ALAM, 22 FEB: Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan beroperasi lebih awal iaitu bermula 27 Februari ini.
MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan 884 petak disediakan melibatkan 16 lokasi, dengan empat bazar lagi masih memiliki 55 petak kosong.
“Sehingga kini, empat lokasi yang masih mempunyai kekosongan petak ialah di Kompleks Muhibbah (22), Taman Sri Bayu (21), Taman Dato’ Ahmad Razali (4) dan Taman Pandan Cahaya (8).
“Permohonan bagi kekosongan di lokasi tersebut masih boleh dibuat melalui sistem e-penjaja di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php,” katanya.
Dalam pada itu, MPAJ akan melaksanakan program MYSaveFood dalam usaha mengelakkan pembaziran serta mengurangkan pembuangan sisa makanan di bazar Ramadan.
Menurutnya, program bermula dari 7 hingga 20 Mac dilakukan dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan menyasar tiga bazar utama.
“Tiga lokasi yang terlibat ialah bazar Ramadan padang Perbandaran Pandan Indah, Bandar Baru Ampang dan di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana,” katanya.