ad
ADN

RM7 juta ganti paip, selesai isu tekanan air rendah di Selayang Baru

14 Feb 2025, 4:59 AM
RM7 juta ganti paip, selesai isu tekanan air rendah di Selayang Baru

SELAYANG, 14 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM7 juta bagi melaksana kerja penggantian paip baharu sepanjang 6.8 kilometer (KM) di Taman Selayang Baru di sini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha itu merupakan jalan penyelesaian kepada masalah tekanan air rendah yang dihadapi penduduk sejak akhir tahun lalu.

“Saya terima aduan tentang tekanan air rendah di Selayang Baru. Dalam tempoh dua bulan ini kita akan cari sumber air baharu sebagai penyelesaian jangka masa pendek.

“Isunya paip ini sudah terlalu lama dan kawasan topografi di sini agak tinggi sehingga menyebabkan air tidak dapat naik terutamanya pada waktu puncak,” katanya kepada pemberita.

Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer ditemui selepas meluangkan masa meninjau aktiviti masyarakat setempat di sekitar Taman Selayang Baru, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Zahiri Zahid Sofian dan Penolong Naib Presiden 1 Pengedaran dan Operasi Rangkaian Air Selangor bagi wilayah Gombak, Ir Zahlan Sulaiman.

Dalam pada itu, Zahlan menjelaskan pihaknya akan menarik sumber air dari Bandar Baru Selayang bagi membantu tekanan air di Taman Selayang Baru, sebagai penyelesaian jangka masa pendek.

Tambahnya, cadangan penukaran paip juga sudah diusulkan ke pihak ibu pejabat dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Masalah tekanan air rendah ini hanya membabitkan kira-kira 300 kediaman, tetapi apabila penggantian paip selesai ia akan turut memberi manfaat kepada keseluruhan 800 rumah di sini,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.