SUBANG JAYA, 1 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan tindakan penguatkuasaan kompaun terhadap tiga restoran di Petaling Jaya yang meletakkan meja dan kerusi di ruangan letak kereta awam secara haram.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya mendapati tiga restoran di SS2/24, Jalan 21/1 dan Jalan 20/14 melanggar peraturan hasil operasi dijalankan bersama polis dan Jabatan Imigresen pada 24 Januari lalu.
“Tiga restoran ini diberi lesen dalam tempoh enam bulan, namun selepas itu mereka tidak membuat lanjutan dan membayar yuran. Mereka juga menggaji pekerja warga asing tanpa sah.
“Premis membuka meja dan kerusi yang turut menghalang laluan pejalan kaki tanpa permit. Selain itu, semua kedai ini turut dikompaun kerana tahap kebersihan kurang memuaskan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan baucar kepada penerima Program Sumbangan Baucar Beli-Belah Jom Kembali ke Sekolah 2025 di Pasar Raya Mydin USJ di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri turut mengingatkan usahawan dan peniaga tempatan yang ingin memulakan perniagaan mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Terdapat ribuan lot kosong dan tapak perniagaan disediakan MBPJ bagi mereka yang ingin berniaga.
“Kami juga membantu orang ramai untuk menjalankan perniagaan secara sah dan program latihan untuk usahawan yang boleh mencipta peluang pekerjaan kepada orang tempatan,” ujarnya.