PETALING JAYA, 10 MEI: Audit sistem perparitan dan longkang di kawasan berisiko bah dibuat secara berfasa oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi meningkatkan keselamatan awam.
Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata tumpuan diberikan terhadap lokasi kerap banjir dan longkang yang mempunyai penutup reput atau rosak bagi mengelakkan orang awam terjatuh.
Menurutnya, MBPJ mengambil maklum saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk membuat tindakan tersebut berikutan insiden lemas membabitkan dua kanak-kanak, baru-baru ini.
“Kalau punca jatuh itu sebab apa, kita akan tengok. Andai kata longkang reput atau lama, mungkin penutupnya sudah berapa tahun atau lebih 10 tahun, kita akan kaji semula dan memerlukan kos.
“Jadi kita akan buat secara berfasa dan dimulakan dengan lokasi panas yang berlaku banjir dulu,” katanya selepas merasmikan Toy Library@Apartment Desa Mutiara di sini, hari ini.
Mohamad Zahri turut mengakui sebahagian kawasan di Petaling Jaya merupakan pembangunan lama dengan sistem perparitan sedia ada tidak lagi mampu menampung taburan hujan lebat.
Menurutnya, MBPJ juga sedang mengenal pasti kawasan perumahan yang menutup longkang dengan binaan sendiri sehingga menyukarkan kerja penyelenggaraan dan berpotensi menyebabkan saliran tersumbat.
“Formula Jabatan Pengairan dan Saliran kalau hujan lebih 60 milimeter dalam tempoh sejam, mesti longkang kita tidak akan dapat menampung air banyak, mesti banjir kilat berlaku.
“Sekarang ini kita dalam proses untuk buat kawasan rumah yang longkangnya tertutup. Kita akan bagi notis dulu, minta tuan rumah buka balik atau kalau mahu tutup, mesti ada ruang atau lubang untuk kita bersihkan,” katanya.
Pada 4 Mei, Amirudin menegaskan audit keselamatan longkang berisiko akan dilakukan susulan dua kes kanak-kanak lemas di sekitar negeri ini, baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat kanak-kanak lelaki Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, ditemui di tebing Sungai Buloh, Ijok kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.
Sementara itu, mayat kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd. Qayyum, 9, ditemui di Sungai Langat kira-kira 11 kilometer dari lokasi dia terjatuh dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras.









