SHAH ALAM, 16 JAN: Hujan lebat diramal melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 8 malam, maklum Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Agensi itu mengeluarkan amaran sama di seluruh Perlis, selain beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
MetMalaysia menjelaskan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


