SHAH ALAM, 14 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu (KKB) akan memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan dan pusat kebudayaan di kawasan itu tahun ini.
Selain itu Pang Sock Tao berkata pihaknya akan menumpukan naik taraf infrastruktur bagi meningkatkan daya tarikan KKB kepada pelancong.
Beliau berkata sebagai permulaan aktiviti larian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), belia sejauh 5 kilometer (KM) akan diadakan bulan ini di pekan KKB.
“Selain itu, saya bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memberi perhatian naik taraf tapak pelancongan seperti menara jam dan kolam air panas Kerling.
[caption id="attachment_650596" align="alignleft" width="411"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Peruntukan sudah dimohon, kini menunggu kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Di samping itu program temasya jalanan Kuala Kubu Bharu yang diserikan dengan persembahan budaya antara tarikan pelancongan daerah berkenaan sepanjang tahun ini.
Acara melibatkan hiburan jalanan dan jualan gerai makanan tempatan itu, dijadual berlangsung setiap Sabtu mulai Januari hingga Disember kecuali Ramadan, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Menerusi kalendar pelancongan dikongsi MPHS, acara lain adalah Wings of KKB: Selangor International Birds Fair pada 26 dan 27 April, pertandingan mengenal burung bagi pelajar kategori sekolah, terbuka dan institusi pengajian tinggi.
Turut dianjurkan KKB International Paragliding Accuracy Open dari 2 hingga 4 Mei, menyaksikan juruterbang paragliding terbaik dalam dan luar negara beraksi di ruang udara Kuala Kubu Bharu.
Ditanya mengenai harapan pada tahun ini, Sock Tao yakin kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) yang dirancang Kerajaan Negeri akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di KKB.
“Saya juga berharap pelbagai peluang pelaburan berimpak tinggi tercipta supaya hasilnya dapat dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.
[caption id="attachment_682410" align="aligncenter" width="916"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao menyertai aktiviti paragliding di Taman Paragliding Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu pada 30 September 2024. Foto Facebook Pang Sock Tao[/caption]