KUALA SELANGOR, 4 JAN: Longkang dan saliran di kawasan perumahan Taman Seri Alam, Saujana Utama dekat sini yang terjejas banjir minggu lalu perlu dibersihkan bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dapat mengelakkan berlakunya wabak denggi yang akan memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.
“Kita mahu pastikan tiada demam denggi sebab selalunya selepas banjir akan ada penyakit ini disebabkan banyak takungan-takungan yang menjadi tempat nyamuk membiak.
“Begitu juga dengan saliran dan pasu-pasu bunga. Kena pastikan bersih supaya tak ada penyakit berjangkit. Pemaju kolam tadahan juga perlu selenggara tapak binaan mereka,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Selangor itu meninjau kawasan lokasi banjir serta turut menyerahkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Dalam kejadian 29 Disember lalu, kolam takungan berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Utama pecah sehingga sekitar kawasan perumahan dilimpahi air, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Kuala Selangor Maisarah Ismail dilaporkan berkata kejadian sama pernah berlaku pada 2015 namun kali ini lebih teruk dan menyebabkan kerugian besar.