SHAH ALAM, 27 DIS: Hampir seluruh daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang diramal alami cuaca buruk hingga 9 malam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook memaklumkan cuaca hujan disertai ribut petir dan angin kencang juga dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta Labuan.
Beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah turut alami keadaan sama.
Menurut agensi itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



