SHAH ALAM, 27 DIS: Enam daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat diramal hujan lebat hingga 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook memaklumkan keadaan sama dijangka berlaku di Putrajaya, Labuan, beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
Menurut agensi itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



