SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menumpukan enam projek khidmat awam berjumlah RM27.1 juta tahun depan bagi mewujudkan pembangunan mampan di daerah itu.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pembinaan dan menaik taraf infrastruktur awam seperti dewan komuniti serta stadium mini antara yang diberi tumpuan.
Projek terlibat adalah pembinaan dewan bankuet dua tingkat di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu yang dijangka siap Januari 2026 selain pembinaan dua dewan terbuka di Taman Serendah Makmur, Serendah dan Bukit Sentosa, Rawang.
“Turut dibina dewan komuniti serbaguna satu tingkat di Taman Seroja, Bukit Sentosa serta menaik taraf dewan dan hiasan dalaman dewan auditorium dan serbaguna Dato' Abdul Hamid, Batang Kali.
“Kerja menaik taraf Stadium Mini Kuala Kubu Bharu pula dijangka berlangsung bermula Januari hingga Jun tahun depan,” maklumnya kepada Selangorkini.
Menurut MPHS lagi, kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus tahun depan dijangka membawa pertambahan hasil RM14.6 juta kepada MPHS.
Pada 9 Disember, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.
Mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua pihak berkuasa tempatan mulai 1 Januari 2025 selain meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor juga diteruskan bagi tahun kesepuluh.
Media Selangor sebelum ini melaporkan lapan pihak berkuasa tempatan tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.